Sabtu, 11 Januari 2014

Pengalaman Menyusukan Anak

Susu Ibu : Anugerah Paling Berharga    

Alhamdulillah. Syukur kehadap ALLAH  yang masih memberikan kekuatan dan keizinan pada saya untuk terus menyusukan Muhammad Danish Harraz. Hari ini genaplah usia Danish 1 tahun 3 bulan. Ini bermakna selama itu jugalah saya diberikan rezeki untuk menyusukan Danish.

Sesungguhnya ini adalah rezeki yang paling berharga tidak ternilai dengan wang ringgit. Moga saya dapat memyusukan Danish sehingga berusia 2 tahun. Sejak saya mengandungkan Danish, saya berdoa agak saya diberi kekuatan untuk menyusukan Danish. Saya tidak mahu kesilapan yang telah saya lakukan pada Darwisy berulang lagi.

Bila melihat wajah Darwisy, hati saya masih terasa bersalah kerana saya gagal untuk menyusukan Darwisy sehingga 2 tahun.  Darwisy hanya sempat menyusu selama 7 bulan. Kerana kejahilan saya semua ini berlaku. Saya gagal melaksanakan apa yang disyariatkan  oleh ALLAH.

Kerana rasa bersalah ini jugalah, saya kuatkan azam untuk terus menyusukan Danish. Yakinlah, ALLAH akan membantu kita apabila kita berniat baik. Jujur saya katakana, selama menyusukan Danish banyak masalah yang saya hadapi. Di saat saya hampir putus asa apabila hasil susu perahan di pejabat tidak mencukupi dan stok susu beku tiada, ALLAH membuatkan Danish kurang menyusu di rumah pengasuh.

Ini membuatkan saya berjaya untuk stabilkan stok susu beku Danish dan dengan kuasa ALLAH Danish kembali menyusu seperti biasa. Disaat hati resah, risaukan Danish tidak kenyang dengan hanya menyusu badan, saya cuba memberikan susu formula untuk Danish.

Dengan izin ALLAH, Danish anak soleh itu menolak susu tersebut tanpa meminumnya. Sungguh hebat kuasa ALLAH. ALLAH menyedarkan saya melalui Danish. Seharusnya saya tidak perlu risau kerana susu yang diminum oleh Danish adalah susu yang paling berharga. Tidak ternilai dengan wang ringgit, tidak dapat dijual beli.

Rezeki susu yang ALLAH berikan kepada saya sesuai dengan keperluan Danish. Kepada para ibu, yakinlah…kita mampu untuk menyusukan anak yang dianugerahkan kepada kita sekiranya kita mahukan. Semua pilihan ada pada kita dan saya cukup yakin semua ibu didunia ini mahukan yang terbaik untuk anak-anak. Susuilah anak-anak kita bukan kerana susu ibu adalah susu yang paling berkhasiat tapi kerana itu adalah tanggungjawab kita sebagai seorang ibu dan yang paling penting ini adalah syariat ALLAH.

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan